3 Cara Dron Digunakan dalam Pengurusan Bencana

by Iffa Dania
Gambar oleh Matt Howard di Unsplash (Dron: Phantom 4 Pro)

Bencana alam sama ada bencana alam semula jadi (gempa bumi, tsunami, banjir monsun dan ribut taufan) ataupun bencana buatan manusia seperti tanah runtuh, banjir kilat, jerebu telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan sekaligus menyumbang kepada kemerosotan ekonomi. Salah satu fasa penting dalam sistem Kitaran Pengurusan Bencana (Disaster Management Cycle) ialah fasa respon. Persediaan dan pencegahan sebelum berlakunya bencana juga adalah amat penting berbanding saat ketika menghadapi bencana tersebut.

Mengikut kajian oleh Luo, Miao, Ullah, McClean, Parr & Min. (2019), sistem pengurusan bencana konvensional yang bergantung kepada respon kecemasan darat mempunyai masalah kecekapan yang rendah dalam pengumpulan maklumat, penilaian bencana serta penemuan mangsa yang lambat, dan perkhidmatan komunikasi yang terhad.

Teknologi dron yang kini bukan sahaja mampu untuk digunakan bagi tujuan rekreasi telah berupaya melaksanakan pelbagai tugasan termasuk dalam pengeroperasian pengurusan bencana. Sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) ataupun dron yang dilengkapi sensor kamera optic mampu beroperasi berdasarkan spektrum cahaya yang dapat dilihat manakala inframerah mampu beroperasi dalam keadaan rendah cahaya (dengan mengesan haba yang dilepaskan) atau yang terlalu tinggi, dengan mempertimbangkan spektrum tertentu mengikut kesesuaian keadaan.

Kegunaan UAV dalam operasi Pengurusan Bencana

Operasi Pra Bencana

Masa adalah faktor yang amat penting bagi kejayaan pengurusan sewaktu berlakunya bencana. Apabila bencana alam berlaku, penduduk di komuniti yang terjejas mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan pihak kecemasan dan ahli keluarga mereka, isyarat telefon dan wifi yang bermasalah akibat cuaca buruk dan juga kerana banyak orang menggunakan sistem tersebut pada satu masa.

Dr Trung Duong dari Queen’s Universiti berkata, system amaran untuk bencana yang sedia ada adalah amat tinggi kosnya, tidak selalunya berkesan dan mudah rosak. Pengesanan awal oleh dron seperti Sistem Amaran Awal (EWS) mewakili bahagian terpenting bagi penyediaan awal terhadap bencana. Dron boleh bertindak sebagai sistem telekomunikasi kos rendah yang dapat memberikan amaran awal mengenai bencana alam dan bertindak sebagai ‘hotspot’ wifi apabila isyarat telefon terganggu semasa cuaca melampau seperti gempa bumi, tsunami atau taufan.

Dron yang mampu terbang di kawasan permukaan yang besar juga boleh melakukan pengukuran di masa nyata dan memberikan maklumat mengenai keadaan cuaca secara lansung dan ini adalah sangat penting untuk misi kecemasan seperti pasukan penyelamat dan perkhidmatan perubatan kecemasan.

Aktiviti semasa bencana

Operasi pemantauan bencana dapat dimudahkan dengan penggunaan drone atau UAV dimana ciri-ciri seperti saiz yang kecil, kos operasi yang rendah, kemampuan untuk mencapai tempat atau lokasi yang berbahaya akan dapat memastikan kejayaan operasi tanpa meletakkan petugas-petugas dalam keaadan berisiko.

Gambar oleh Max Wagner di Unsplash (Dron: Phantom 4 Pro)

Pengurusan banjir adalah tugas yang amat sukar. Oleh itu, pemantauan yang berterusan terhadap kawasan banjir dan berisiko tinggi amatlah diperlukan.

Bagi pasukan penyelamat, dron banyak membantu dalam pemilihan lokasi selamat dengan lebih cepat untuk mangsa-mangsa yang terselamat bertahan. Selain dari mempunyai ketahanan yang kuat, dron juga dapat memberikan penyiaran waktu nyata atau secara lansung dengan memberikan gambaran video yang beresolusi tinggi seperti 4k atau 8k.

Ini, akan memberi kelebihan kepada penyelamat untuk mengambil tindakan respon ataupun perancangan yang lebih cepat. Gambar yang diperoleh dari sensor udara juga boleh digunakan untuk menentukan laluan selamat untuk pasukan penyelamat dan juga untuk menganalisis impak berorientasikan masa.

Gambar oleh Matt Howard di Unsplash (Dron: Phantom 4 Pro)

Selain itu, dron juga dapat membantu disaat berlakunya kebakaran hutan. Dron atau (UAV) digunakan untuk mengesan kebakaran.

Dilengkapi dengan sensor termal (thermal sensor), drone membolehkan operator untuk mengenal pasti "tempat panas" yang aktif supaya dapat memudahkan tugas memadamkan api di daerah itu dengan cepat.

Sekiranya berlaku kemalangan nuklear atau kebocoran bahan berbahaya seperti gas beracun yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dron juga sangat berkesan atau boleh menjadi satu-satunya alat untuk menyokong pengurusan bencana.

Seperti yang diketahui, malangnya, bencana industri terburuk adalah melibatkan gas dan telah mengorbankan ribuan nyawa dan telah menyebabkan lebih daripada setengah juta orang tercedera. (Bhopal, India, 1984)

Aktiviti Pasca Bencana

Selepas berlakunya sesuatu kebakaran dron digunakan bagi pemantauan pasca kebakaran. Dron berkapasiti tinggi dapat menyokong pengurusan bencana dengan melakukanpemantauan pada masa nyata dengan memperolehi banyak maklumat dengan cepat dan relevan.

Begitu juga dari segi penilaian kerosakan, dron yang dilengkapi dengan sistem kamera berkualiti tinggi mampu merakamkan gambar dengan lebih jelas bagi membuat penilaian dengan lebih efisien. Seperti banjir yang berlaku di Kuching, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak telah melakukan tinjauan dari udara menerusi Unit Dron APM untuk memeriksa dan memantau kawasan yang terjejas banjir menggunakan bagi memeriksa peratusan paras air yang menurun.

Gambar oleh Charlie Deets di Unsplash ( Dron: Phantom 4 RTK)

Berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh pemantauan dron, kesan bencana dapat dikurangkan dengan lebih efektif dan semua maklumat yang relevan dapat menyokong dalam membuat keputusan yang lebih baik.

Pemetaan kawasan yang berkesan dapat dilakukan oleh dron dalam waktu yang singkat dan beresolusi tinggi supaya akan dapat membantu tindakan respon yang lebih cepat dan efisen.

Sebagai kesimpulan, ada pelbagai cara yang menunjukkan bagaimana dron atau UAV dapat membantu dalam pengurusan bencana bukan hanya sebelum ia berlaku, malah semasa kejadian dan juga setelah berlakunya bencana untuk fasa pemulihan.

Fungsinya tidak hanya seperti yang disebutkan di atas tetapi baru-baru ini terbukti bahawa ada lebih banyak fungsi dron dalam menguruskan bencana seperti liputan media, aplikasi perubatan dan banyak lagi.

Share this article: